Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Pengajian Kitab Hikam Kuliah Maghrib Hari Khamis ( 01. 02. 2001 / 07 Zulkaedah 1421)
ROJA' ATAU HARAP
Sambungan Dari Pengajian Terdahulu

Kalam Hikmah Sheikh Ibnu Athoillah As-Kanddari yang selanjutnya;
 

HARAP ADALAH YANG DISERTAI AMAL. JIKA TIDAK IA ADALAH ANGAN-ANGAN.

Keterangan dan Huraian oleh Tok Pulau Manis

Bermula Harap itu barang yang beserta akan dia amal;  dan jikalau tiada demikian,  maka iaitu angan-angan namanya.  Maka angan-angan itu hukumnya mati.

Maka mengHarap-harap serta ketiadaan amal itu sebab bagi mati[hati];  dan serta amal itu sebab hidup;  dan asal hidup itu Ilmu dan Ilmu itu jadi daripada Amal.

Keterangan Suluk

Adapun maksud Roja itu sebagaimana yang pernah dikatakan oleh Sheikh Abu Qasim Al-Qusyairi ra.  ialah;

Bermula Harap ialah tempat bergantungnya hati kepada apa yang disukai dan akan berhasil pada waktu kemudian.

Bukti yang menunjukkan tanda-tanda Roja' atau Harap ialah taat.  Dengan munculnya taat,  maka menunjukkan seseorang itu memiliki hati yang sentiasa mengadap dengan Harap yang penuh yakin kepada Allah Taala.  Dengan itu,  dalil atau tanda atau alamat seorang yang Roja' ialah yang banyak mendirikan taatnya.

Umpamanya seperti apa yang berlaku di dunia,  seorang yang menanam benih yang baik pada tanah yang subur lalu menyiramnya;  perbuatan itu Roja'(Harap) yang kuat.  Kebalikannya ialah seorang yang menaman benih pada tanah yang gersang dan tidak disiram lalu ia mengatakan; "Allah kuasa menumbuhkannya,  semoga saja tanaman ini tumbuh."  Perkataan ini benar,  tetapi Roja'nya kurang tepat,  kerana ia tidak mengindahkan kebiasaan yang telah diperintahkan Allah pada makhluknya.

Apapun,  seorang yang Roja' itu ialah seorang yang tidak dapat tidak( yakni mesti) banyak mendirikan dan menyempurnakan taat kepada Allah.  Inilah sebahagian dari maksud Bermula Harap itu barang yang beserta akan dia amal.

Dengan kerana itulah dikatakan dengan Roja'  itu,  hati akan hidup.  Hidup dengan penuh pengharapan kepada Rahmat Allah yang terjelma melalui amal taatnya yang benar dan bersungguh-sungguh.  jikalau tiada demikian, yakni tiada bercambah amal taat dalam Harapnya  maka iaitu angan-angan namanya,  semata-mata khayalan kosong yang tidak berfaedah.  Ini adalah kerana angan-angan itu hukumnya mati.

dan serta amal itu sebab hidup;  dan asal hidup itu Ilmu dan Ilmu itu jadi daripada Amal. Tanda  bagi hidup bagi yang mati itu ialah berdirinya (yakni dengan mengerjakan banyak) amal dan taat yang benar.  Adapun asal hidup hati yang mati itu ialah kerana adanya ilmu atau maklumat yang berkaitan dengan agama.

Dengan hidupnya hati yang mati dengan menumbuhkan pelbagai ilmu syariat,  dan dengan suburnya amal dari ilmu-ilmu tentang cara-cara berUbudiyah pada Allah,  maka akan membuahkan pula Ilmu Laduni atau Ilmu Yang Terus Dari Allah.  Ilmu-ilmu inilah yang membawa mereka untuk menjejaki batin dan rahsia setiap Syariat RasuluLlah yang dikerjakan itu;  menjadikan mereka itu orang yang mengerti dan Arif mengenai kehidupan ini.  Penyimpan amanah dan pemegang rahsia Ketuhanan yang hidup subur dengan tumbuhan amal sholeh..

Keterangan dan Huraian selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Maka barangsiapa dihidupkan Allah akan dia dengan Ilmu dan Amal,  maka jadilah hidupnya selama-lamanya;  dan barangsiapa dimatikan,  nescaya dikurniakan Zulumah al-Jahil dan ketiadaan Ilmu dan Amal.

Keterangan Suluk

Apabila Allah ingin menghidupkan hambaNya dengan kehidupan yang tiada mati selama-lamanya,  maka akan dihidupkan Ruh mereka dengan Ilmu dan Amal.  Ini adalah Ruh itu adalah bangsa Ketuhanan yang termasuk dalam urusan Allah..  Urusan Allah bukanlah berupa jisim dan bukan pula 'aradh', malahan ia adalah suatu kekuatan 'ILAHIYAH' seperti 'AKAL YANG PERTAMA' (Al-'Aklul-Awal), Luh dan Qalam. Kekuatan Ilahiyah adalah Jauhar-Jauhar Tunggal yang bukan dari benda, malah ia merupakan sinar-sinar abstrak yang dapat difahami oleh akal (Ma'quulah). Bukan boleh dirasa. Apa yang kita sebut sebagai ruh dan Qalbu adalah dari Jauhar-Jauhar itu. Ia

Bila hidup sifat-sifat Ruh yang fitrah ini,  maka seorang hamba itu akan sentiasa hidup dengan Ilmu Asal yang hasil dari Laduni yang membuahkan amal yang Sidiq,  sebagaimana terzhohir pada para Ambiya,  Mursalin,  Aulia dam para Sholihin.

Sebaliknya,  barangsiapa dimatikan hatinya,  maka sentialah mereka berada dalam kegelapan kejahilan yang terzhohir pada Kafirin,  Munafiqin,  Ghoofilin,  Faasikin dan yang mabuk dunia.

Keterangan dan Huraian selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Bermula Roja itu maqam yang mulia daripada segala maqam al-Yakin iaitu yang menjadikan atas bersungguh-sungguh pada segala amal seperti yang telah kami sebutkan dalam dukacita kerana bahawasanya orang yang mengharap-harap akan sesuatu,  nescaya dituntutnya,  dan barangsiapa takut daripada sesuatu,  nescaya lari daripadanya.

Keterangan Suluk

Bersambung dalam Pengajian yang berikutnya  Roja' Yang Dusta  ......Insya Allah

[[Kembali ke Index Pengajian Kitab Hikam]]
Semoga Allah memberi taufik dan hidayahnya
Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Besar