Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Sambungan dari pengajian sebelum ini
Pengajian Kitab Hikam pada hari Khamis (12. 08. 1999 /.30 Rabiul Akhir 1420)

Hijrah Kepada Yang Haq I

Petikan Keterangan Pengajian Sebelum ini;

Demikianlah hemah dan arah tuju kaum sufiah dalam perjalanan mereka menuju Yang Haq.  Perjalanan mereka adalah perjalanan "dari Allah"  "dengan Allah"  "kerana Allah" dan "kepada Allah".  Dengan kerana itulah,  sebagai melanjutkan bahasan tentang arah perjalanan kaum sufiah ini,  Tok Pulau Manis mendatangkan pula Kalam Hikmah yang seterusnya seperti berikut;
 

Dan tilik olehmu kepada Sabda Nabi SAW.;  Maka barangsiapa ada pindahnya kepada Allah dan RasulNya,  maka adalah pindahnya itu kepada Allah dan RasulNya.

Keterangan Tok Pulau Manis seterusnya;.

Maka amalkan olehmu atas (hal yang) demikian itu seperti bahawasanya engkau berpindah kepada keduanya(Allah dan Rasul) dan jangan engkau berhadap bagi lainnya.

Dan barangsiapa ada pada Allah kebinasaannya,  maka atas Allah gantinya.  Barangsiapa keluar ia daripada rumahnya pada halnya berpindah kepada Allah dan RasulNya kemudian dapat mati akan dia,  maka sanya jatuhlah pahalanya atas Allah.

Keterangan Suluk

Perhatian Kalam Hikmah di atas adalah berdasarkan kepada Hadis Rasulullah SAW. berkaitan dengan peristiwa Hijrah.  Mengikut keterangan guru suluk,  semasa peristiwa hijrah Rasulullah ke Madinah itu,  terdapat tiga golongan yang ikut serta bersama Rasulullah SAW  iaitu;

Di samping itu perlu ditegaskan,  dalam mengambil faham dan mengupas maksud hadis tersebut,  kaum sufiah mempunyai pandangan mereka yang tersendiri untuk mengupas pengajaran dan isi pengetahuan di sebalik yang tersurat(zhohir) hadis tersebut.  Mereka lebih cenderung untuk mengupas sesuatu hadis atau firman Allah itu mengikut kedua-dua pandangan iaitu zhohir dan batinnya.  Malah ada yang berupaya mengambil pergertian yang batin dari yang batin (untuk keterangan lanjut sila lihat bicara mengenai Misykaatul Anwar).

Oleh kerana inilah Tok Pulau Manis cuba mengetengahkan sebahagian daripada pengertian batin hadis yang berkaitan dengan hijrah  ini dengan maksud perjalanan hati atau hemah hamba-hamba yang beramal dan beribadat kepada Allah.  Dengan kata lain bolehlah kita katakan maksud perpindahan atau hijrah itu adalah ditujukan kepada mereka;

Untuk itu,  Tok Pulau Manis telah menegaskan dalam keterangannya supaya hamba yang ingin berubah itu  hendaklah meletakkan niat dan arah tuju mereka semata-mata kerana kecintaan kepada Allah dengan memuliakan(ikut/junjung) jalan-jalan yang disyariatkan oleh Rasulullah SAW sebagaimana maksud hadis tersebut..

Seterusnya dinyatakan pula,  segala kerugian wang ringgit, harta,  masa dan tenaga yang digunakan ke arah jalan perubahan ini, akan mendapat balasan yang setimpal dari Allah Taala di akhirat nanti
sebagaimana firman Allah Taala Yang Maha Tinggi yang bermaksud;

Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.   (An-Nisaa:100)

Keterangan Tok Pulau Manis seterusnya;.

Dan barangsiapa ada pindahnya kepada dunia,  nescaya diperolehnya akan dia(dunia) atau kepada perempuan, nescaya dinikahi akan dia.  Maka pindahnya itu kepada yang berpindah ia kepadanya.

Keterangan Suluk

Jika seorang salik ingin mendapatkan maqam atau keramat dalam mujahadah atau perjalanan ibadatnya,  nescaya mereka akan mendapatkannya.  Tetapi hanya setakat itu sahajalah perhentian mereka.  Mereka akan mendapat dunia yang diingini itu tetapi tidak akan sampai kepada Allah Taala. Pendek katanya mereka akan mendapat atau sampai kepada apa yang ditujui mereka.  Jika keramat yang diingini keramatlah buruan mereka,  jika maqam yang dicita-citakan,  maqam yang tertentulah yang menjadi perhatian dan destinasi mereka.

Keterangan Tok Pulau Manis seterusnya;.

Dan sesungguhnya telah menjagakan Rasulullah SAW.  dengan sabdanya;  maka adalah pindahnya itu kepada Allah dan Rasulnya iaitu makna berjalan daripada segala Akaun kepada Makwin iaitulah yang dituntut daripada hamba.

Dan sabdanya,  maka adalah pindahnya itu kepada yang berpindah ia kepadanya iaitu kekal serta kekal akuan dan berpindah dalamnya iaitu yang ditegah daripadanya.

Keterangan Suluk

Dalam keterangan seterusnya,  dinyatakan bagaimana Rasulullah SAW.  telah memberi peringatan dan panduan kepada umatnya supaya dalam mengerjakan dan mengamalkan sesuatu ibadat  hendaklah memahami bahawa sebenarnya mereka mesti keluar dari kehendak-kehendak diri yang rendah dari kalangan makhluk atau akuan(bersifat keduniaan seperti maqam atau keramat) kepada Allah semata-mata.

Amatlah bodoh jika seorang beramal di dunia ini untuk dunia juga.  Hal ini adalah seperti mereka yang berusaha dan bekerja mencari rezeki tetapi hanya digunakan untuk mengejar kemewahan dan kesenangan dunia dan berbangga dengan kedudukannya.  Sepatutnya mereka mengqasadkan usaha mereka itu untuk menguatkan diri beribadat kepada Allah,  menafkahkan keluarga,  memberi sedekah dan menyempurnakan tuntutan syarak yang termampu dilaksanakan.

Malah tersangatlah bodoh dan jahat lagi mereka yang mengerjakan amalan-amalan akhirat tetapi untuk mencari dunia.  Contohnya seorang yang mengajar ilmu agama.  Pekerjaan atau amalan mereka adalah bersifat akhirat.  Sepatutnya mereka mengikhlaskannya,  tetapi jika tujuan mengajar itu didasarkan atau dicampurkan dengan tujuan untuk mendapatkan upah,  gaji atau elaun atau kemegahan,  maka ini menunjukkan mereka masih lagi kekal dan terbelenggu dengan akuan.  Demikian juga halnya mereka yang bersuluk atau bertapa dengan wirid-wirid yang tertentu dengan tujuan untuk mendapat sesuatu keistimewaan dunia.

Perbuatan mencari dunia dengan dunia atau mencari dunia dengan amalan akhirat adalah ditegah kerana ianya menunjukkan kepentingannya semata-mata kerana memenuhi tuntutan nafsu syahwat serta rendahnya cita-cita atau tidak berhemahnya seorang hamba terhadap Allah Taala.

Dengan kerana itulah,  Tok Pulau Manis meneruskan keterangan beliau seperti berikut;.

Maka hendaklah dijadikan oleh orang yang murid itu tinggi hemahnya dan niatnya hingga tiada baginya berpaling kepada lainnya. Dan hendaklah engkau jadikan dalam tiap-tiap sesuatu dengan Dia tiada dengan nafsumu. Dan firmanNya Yang Maha Tinggi;  "Makan(lah) kamu minum(lah) kamu dan jikalau ada pada zhohirnya itu memberi  nikmat,  maka dalam batin itu bala dan cuba".

Keterangan Suluk

Keterangan di atas menegaskan supaya seorang "murid"(yang memulakan perjalanan hati menuju Allah) itu hendaklah meninggikan hemah dan niatnya dalam beramal dan beribadat dengan semata-mata ditujukan kepada Allah Taala dengan tidak bersyirik dengan sesuatu yang lain.   Mereka hendaklah menjadikan sesuatu perbuatan dan  amal ibadat serta setiap kelakuan mereka dengan bersama Allah (dalam erti kata mengikut tuntutan hukum syarak pada zhohir dan batinnya).

Seterusnya didatangkan isyarat dari Firman Allah Taala yang meminta supaya mereka berhati-hati dalam menerima pelbagai nikmat-nikmat yang disediakan dan dianugerahkan oleh Allah dari rezeki makan minum dan keselesaan hidup atau ibadat kerana walaupun zhohirnya nampak nikmat, tetapi mengandungi  cubaan dan bala atau racun yang boleh membinasakan.  Contohnya jika mereka makan atau minum dengan berlebihan akan melumpuhkan kerajinan dalam ibadat dan sekiranya memakan sesuatu yang haram akan menggelapkan(membutakan) mata hati.  Perhatikan firman Allah yang bermaksud;
.
Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas. [Al-Araaf:31]

Serta Kami katakan: Makanlah dari benda-benda yang baik yang Kami kurniakan kepada kamu, dan janganlah kamu melampaui batas padanya, kerana dengan yang demikian kamu akan ditimpa kemurkaanKu; dan sesiapa yang ditimpa kemurkaanKu, maka sesungguhnya binasalah ia. [Taha:81]

Biarkanlah mereka makan dan bersenang-lenang dengan kemewahan dunia dan dilalaikan oleh angan-angan (daripada bertaubat dan insaf); kemudian mereka akan mengetahui kelak (bencana perbuatan mereka).  [Al-Hijr:3]

Selanjutnya Tok Pulau Manis menegaskan lagi hal nikmat ini dengan katanya;

Maka apabila telah engkau ketahui akan dia(nikmat) yang demikian itu,  maka hendaklah engkau keluar daripadanya(nikmat) kerana bahawasanya tiada dibilangkan barang yang lain daripada Allah dan RasulNya.

Seterusnya Muaalif menyambung lagi Kalam Hikmah Sheikh Ibni Athoillah;

Maka tilik olehmu Sabda Nabi SAW.;  Maka adalah pindahnya itu kepada (apa) yang berpindah ia kepadanya.  Dan bicarakan pekerjaan(pindah) ini dan kepadaNya(Allah) jua kembali segala Akuan.  Maka fahamkan olehmu dengan sebenar-benar faham.  Dan sejahteralah atas orang yang mengikut petunjuk. 

Yakni,  fikirkan olehmu perbezaan antara dua maqam orang yang berpindah ia kepada Allah dan RasulNya dan di antara maqam orang yang berpindah ia kepada bahagian nafsunya dengan sekira-kira telah menjagakan(mengingatkan) pada permulaan Hadis atas permulaan orang yang kamil(seperti) seperti menjagakan pada akhir Hadis itu perjalanan orang yang di bawah.

Keterangan Suluk

Melalui kalam hikmah dan keterangan Tok Pulau Manis di atas,  kita telah disarankan untuk meneliti atau memikirkan dengan bersungguh-sungguh kepada butir-butir hikmah atau pengajaran yang terdapat dalam Hadis Rasulullah berkenaan dengan hijrah tersebut.  Menurut mereka,  jika direnungi dan diambil benar-benar akan kefahaman mengenai peringatan itu, kita akan dapat mengerti bahawa terdapat satu perbezaan yang besar berkaitan dengan maksud dan tujuan antara dua golongan manusia yang beramal dan beribadat kepada Allah.  Tok Pulau Manis mengkelaskan golongan-golongan ini kepada dua maqam iaitu;

Dengan itu kerana sejahteralah atas orang yang mengikut petunjuk untuk menduduki maqam yang pertama seperti di atas.

"Sesungguhnya barangsiapa  yang Allah tidak berikan cahaya,  maka tidaklah ada cahaya baginya".  (Al-Quran)

Bersambung dalam pengajian berikutnya

Allahhu A'lam


[[Kembali ke Index Pengajian Kitab Hikam]]

Semoga Allah memberi taufik dan hidayahnya
Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Besar