TAJUK : Hukuman Merotan Patut Dilaksanakan
Semula Di Sekolah
FORMAT : Perbahasan/ pembangkang
Salam sejahtera Tuan Pengerusi Majlis, barisan hakim yang arif lagi bijaksana, saudara saudari pencadang yang saya hormati, serta para hadirin sekalian.
Saya, sebagai pemidato pertama ingin mengemukakan hujah-hujah saya bagi membangkang tajuk perbahasan pada pagi ini. Kami pihak pembangkang tetap tidak bersetuju dengan pernyataan “Hukuman Merotan Perlu Dilaksanakan semula bagi Mendisiplinkan Pelajar-pelajar.”
Panel hakim yang arif serta rakan-rakan seperjuangan sekalian,
Sebelum saya melanjutkan hujah-hujah saya, terlebih dahulu izinkan
saya menjelaskan tajuk perdebatan kita pada hari ini. “Hukuman merotan”
merujuk denda yang dilaksanakan di sekolah-sekolah, iaitu menyebat pelajar-pelajar
yang melanggar peraturan sekolah. Antara salah laku yang dianggap melanggar
peraturan sekolah ialah merokok, ponteng, bergaduh, merosakkan harta benda
sekolah, dan pelbagai kesalahan yang lain. Lazimnya hukuman ini dijalankan
secara terbuka iaitu di hadapan pelajar-pelajar yang lain ketika perhimpunan
sekolah. Di samping itu terdapat juga hukuman merotan yang dijalankan secara
tertutup. Pada hemat saya, hukuman ini agak keterlaluan dan ketinggalan
zaman. Merotan pelajar-pelajar tidak mungkin dapat menyelesaikan masalah
disiplin pelajar-pelajar. Pelajar yang di rotan pasti akan memberontak
atau berdendam. Seharusnya kita mengambil kira usia pelajar-pelajar tersebut.
Dalam usia yang begitu muda, mereka perlukan bimbingan bukannya hukuman.
Kami barisan pembangkang menganggap hukuman ini penuh dengan unsur kekejaman
dan keganasan. Mahukah saudara saudari dan rakan pencadang dirotan kerana
kesalahan-kesalahan seperti yang saya katakan tadi?
Barisan hakim yang bijaksana dan saudara saudari sekalian,
Hukuman merotan ini bukan sahaja menyakitkan malah memalukan dan menakutkan
para pelajar. Pelajar-pelajar yang dirotan pasti akan berasa malu kepada
rakan-rakan dan saudara-mara mereka. Mereka akan mengalami tekanan perasaan
yang kuat. Adakah mampu bagi seorang pelajar menanggung beban perasaan
seperti itu ? Saya pasti walaupun barisan pencadang tidak menganggukkan
kepala tetapi jauh di lubuk hati, mereka tetap bersetuju dengan hujah saya
ini. Ini kerana, peristiwa kena rotan pasti akan menghantui jiwa mereka
dalam jangka masa yang lama. Mereka yang tidak dapat menanggung perasaan
mungkin akan bertindak diluar dugaan kita. Akhbar tempatan pernah menyiarkan
berita tentang seorang pelajar di Melaka yang membunuh diri kerana pihak
sekolah memberitahu keluarganya yang dia dirotan. Mahukah kita mendengar
tragedi seperti ini berulang lagi? Janganlah saudara saudari menghalalkan
hukuman ini di sekolah-sekolah. Ingat saudara saudari, sekolah bukan tempat
untuk menjatuhkan hukuman. Sekolah ialah tempat pelajar-pelajar dididik
dan dibimbing untuk menjadi anggota masyarakat yang berguna. Oleh itu saya
ingin menyanggah dengan sekeras-kerasnya pandangan negatif pencadang yang
pertama tadi.
Para hakim yang saya muliakan serta para hadirin sekalian,
Saya berpendapat bahawa hukuman merotan ini akan menimbulkan masalah
yang lebih serius. Kata pihak pencadang sebentar tadi, para pelajar yang
dirotan pasti akan insaf akan perbuatan mereka dan oleh itu akan berkelakuan
baik sepanjang masa. Namun, tidakkah saudara pencadang sedar bahawa terdapat
juga kemungkinanpara pelajar yang dirotan mungkin akan bertindak balas?
Mereka akan melakukan perkara-perkara yang lebih buruk.
Kereta guru akan menjadi sasaran. Ada kereta yang akan dicalarkan dan ada tayar yang akan dibocorkan oleh mereka. Apabila keadaan ini berlaku, keharmonian hubungan guru dengan murid akan menjadi tegang.
Lebih buruk lagi mereka akan bertindak liar merosakkan harta benda sekolah, umpamanya membakar harta benda sekolah atau lebih buruk lagi, membakar sekolah. Mahukah kita melihat pelajar-pelajar kita bertindak liar seperti ini? Apa yang pasti, hubungan guru-guru dengan para pelajar akan menjadi renggang. Perasaan hormat mereka terhadap para guru akan hilang. Guru-guru pula akan membenci pelajar-pelajar yang berkenaan. Sesungguhnya tiada manusia yang suka dirinya dizalimi walaupun dia bersalah. Hubungan renggang antara guru-guru dengan pelajar-pelajar pasti akan menjejaskan aktiviti pembelajaran dan pengajaran. Pelajar-pelajar yang terbabit pasti akan hilang minat untuk belajar. Akibatnya prestasi mereka dalam pelajaran pasti akan merosot. Inilah harga yang perlu dibayar oleh sistem pendidikan kita sekiranya hukuman merotan dilaksanakan di sekolah-sekolah.. Menyedari hakikat ini, saya dan rakan-rakan pembangkang tetap menyelar pandangan pihak yang saya anggap ‘selangkah ke belakang’.
Tuan-tuan hakim yang saya hormati serta rakan-rakan sekalian,
Dalam zaman yang serba canggih ini saya berpendapat hukuman ini sudah
ketinggalan zaman. Di negara-negara maju yang lain, hukuman ini sudah lama
dilenyapkan. Saya tidak mahu menyalahkan pihak pencadang yang mungkin terlalu
asyik belajar sambil mentelaah buku teks sehingga lupa membaca akhbar dan
majalah. Kita harus mempraktikkan kaedah yang lebih saintifik dan berperikemanusiaan.
Beberapa sesi kaunseling yang berkesan pasti akan dapat menyedarkan para
pelajar yang bersalah akan kesalahan yang dilakukan oleh mereka. Sebelum
kita mengenakan hukuman, kita perlu membuat penyiasatan yang terperinci.
Latar belakang para pelajar yang berkenaan perlu diambil kira. Menghukum
dengan sewenang-wenangnya akan meninggalkan implikasi buruk yang sukar
dilupakan. Anak-anak zaman sekarang tidak sepatutnya didedahkan dengan
unsur-unsur keganasan. Para guru perlu mengkaji punca-punca berlakunya
perbuatan-perbuatan yang melanggar disiplin sekolah. Menangani masalah
disiplin secara bersopan dan berhemah pasti akan membuahkan hasil yang
positif. Pelajar-pelajar perlu dinasihati dan dibimbing dengan sebaik mungkin.
Kita harus menerima hakikat bahawa fikiran mereka masih belum matang dan
mereka memerlukan tunjuk ajar. Merotan mereka hanya akan melenyapkan keyakinan
mereka terhadap guru-guru. Oleh yang demikian saya sekali lagi menegaskan
bahawa hukuman merotan hanya akan mencederakan pelajar-pelajar dari segi
fizikal dan emosional. Hakikatnya, hukuman ini tidak harus dilaksanakan
di sekolah-sekolah pada masa kini.
Hadirin sekalian,
Oleh sebab masa tidak mengizinkan saya untuk berhujah lebih lanjut
maka saya mohon untuk berundur diri seketika namun rakan seperjuangan saya
pasti akan menyambung hujah-hujah kami. Walau bagaimanapun, saya tetap
menegaskan, hukuman merotan tidak patut dilaksanakan di sekolah-sekolah
bagi mendisiplinkan pelajar-pelajar.
Sekian, terima kasih.
GAMBARAN | WAWANCARA | PENDAPAT | PERBAHASAN |
Muka Depan | Kefahaman | Merumus | Tatabahasa | Karangan |