Selamat Datang Ke Laman
Dalam pencarian "Guru Sebenar Guru"...antara ilmu, amal dan bual; manakah satu yang sebenarnya bekal? Ramai mengaku 'berilmu' tapi kurang berakal apatah lagi yang sedikit ilmunya tapi langsung tidak berakal;
itulah punca amal dan bual tidak menjadi bekal.
|
Keranamu Malaysia
(Hamzah Mohamed)
Mengenai Saya Sila ke laman Latar Belakang Saya
" Tidak akan kamu berperasaan gundah walau sekali, jika kau tahu apa yang dicari."
~ Umar al-Khattab
|
MEMPERKASA GURU SEBENAR GURU KE SEKOLAH TIDAK JEMU MENGAJAR TIDAK LESU
"The mediocre teacher tells. the good teacher explains. The superior teacher demonstrate. the great teacher inspires." ~ William A. Ward
Pendahuluan Mempersiapkan generasi pelajar hari ini bagi menghadapi dan menangani cabaran-cabaran baru terutama tuntutan-tuntutan sebagai "knowledge worker" dalam era revolusi informasi abad ke-21 terletak di tangan dan dibahu seluruh kaum guru dan pendidik di pelbagai peringkat lebih-lebih lagi peringkat persekolahan rendah, amat memerlukan kesedaran yang tinggi bagi memperkembangkan dan mempertingkatkan setiap aspek profesionalisme keguruan ke suatu tahap yang tidak mungkin lagi dipertikai dan diperlekehkan oleh masyarakat dan negara,. Usaha terbaru Kementerian Pendidikan Malaysia dengan memperkenalkan Standard Tinggi Kualiti Pendidikan mulai tahun 2001 adalah manifestasi dan bukti kepada komitmen bagi menggerakkan semua pihak untuk mencapai kecemerlangan pendidikan negara sebagai pusat kecemerlangan ilmu, sekali gus memartabatkan pendidikan yang bertaraf dunia. Oleh kerana sifat sesuatu yang baru itu sering dipandang serong dan diragui, maka begitu juga persepsi sebahagian golongan pendidikan dan pentadbir pendidikan sehinggakan wujud semacam 'desakan' bagi mempermudahkan dan pengubahsuaian kepada instrumen Penarafan Kendiri Sekolah Berasaskan Standard Tinggi Kualiti Pendidikan ini, adalah suatu sikap yang kurang wajar dalam konteks kita hendak memartabatkan pendidikan dan profesion keguruan. Bagaimana Fenomena Pendidikan dan Pengurusan Sekolah masa kini? Menurut Penyataan Dasar Standard Tinggi Kualiti Pendidikan Jemaah Nazir Sekolah (2001) menyebut bahawa; "Orang ramai semakin kerap mempersoalkan kualiti pendidikan di sekolah, seolah-olah tidak lagi menaruh keyakinan kepada kewuibawaan sekolah dalam hal ehwal mendidik, terutama apabila mendapati kelakuan murid lepasan sekolah tidak seperti yang diharapkan oleh masyarakat dan negara. Kecemerlangan pada sijil peperiksaan mereka secara realitinya tidak memperlihatkan kematangan berfikir, kepetahan berkomunikasi, ketokohan sebagai pemimpin, kemurnian tingkah laku, keupayaan mencipta dan menyumbang kepada pemajuan negara-bangsa dan global," (hlm.24). Fenomena lain ialah wujudnya keadaan kepakaran dan profesionalisme guru tidak kemas kini dan relevan ke arah pembangunan diri insan yang menyeluruh dan seimbang seperti yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Kajian pihak Nazir Sekolah juga mendapati kelesuan proses pendidikan ini ada kaitan secara sebab-akibat dengan amalan pentadbiran organisasi persekolahan yang lebih menguruskan hal-hal mekanikal seperti pengendalian perjawatan, gaji dan bangunan. Oleh itu kesempurnaan yang menonjol di sekolah bukan pada pelakuan manusianya tetapi pada hal-hal kebendaan, maka terhasillah keluaran sekolah yang berkembang di tahap persepsi atau tanggapan fenomena luaran sahaja sehingga kurang upaya menyelesaikan masalah dan membuat keputusan rasional dan membangun. Fenomena "Low Performing Schools"? Salah satu kayu ukur bagi menentukan sesebuah sekolah itu baik, maju, meningkat dan membangun hingga ke tahap cemerlang (atau sebaliknya) adalah menerusi pencapaian peperiksaan. Berdasarkan keputusan Ujian Pencapaian Sekolh Rendah (UPSR) tahun 1999, sejumlah 1,919 buah sekolah rendah telah dikenalpasti sebagai "sekolah prestasi rendah" yakni sekolah-sekolah yang pencapaian peratus kelulusannya di bawah 30% Dalam hubungan penarafan sekolah di bawah Standard Tinggi Kualiti Pendidikan ini pula pihak Jemaah Nazir Sekolah telah mendapati bahawa penilaian keseluruhan sekolah-sekolah setakat ini berada pada tahap tiga iaitu lemah dalam indeks komposit tahap sekolah dengan skor antara 30 hingga 49 peratus. Kemudian kita didedahkan pula dengn dapatan hasil kajian sepasukan penyelidik Universiti Malaya terhadap "keberkesnan 3M" di antara sekolah-sekolah kebangsaan dengan sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina khasnya, yang juga sekali lagi menampakkan "kelemahan dan ketidakberkesanan" yang ketara sekali berlaku di sekolah-sekolah kebangsaan kita. Lama sebelum ini pun YAB Perdana Menteri Dato' Seri Doktor Mahathir Mohamad pernah "menyelar" sikap "tidak serius" yang terdapat di kalangan segelintir Guru Besar di sekolah-sekolah kebangsaan dan senario negatif dan "kurang menarik" yang wujud dan berlaku di sekolah-sekolah ini. Apakah tidak ada kaitannya apabila kita memperkatakan prestasi dan kualiti pendidikan ini dengan masalah dan dilema yang dihadapi seperti isu-isu kegagalan memenuhi kuota 55% kemasukan pelajar-pelajar Melayu ke IPTA kerana pencapaian yang rendah di dalam peperiksaan SPM dan STPM? Rumusan kajian-kajian ini menyatakan bahawa pelajar-pelajar Melayu tertinggal dalam pelajaran seawal di bangku sekolah rendah lagi. Untuk mengatasinya kita perlu berpatah balik jauh ke belakang. Usaha membentuk pelajar-pelajar Melayu yang berdaya saing perlu bermula di peringkat sekolah kebangsaan (Isahak Haron, 2001). Nah begitu lantang sekali seruan ini dan sudah sewajarnya disambut bukan sahaja dengan semangat ingin menebus maruah malah memartabatkan pendidikan berkualiti di kalangan anak-anak Melayu. Maka inilah yang hendak dilakukan oleh pihak Kementerian Pendidikan menerusi Standard Tinggi Kualiti Pendidikan. Ke Arah Pembaharuan Tema dan Sistem Pendidikan Seperti yang diketahui abad ke-21 adalah era maklumat maka amatlah perlu kita dapat "melihat jauh ke depan" dalam konteks Wawasan 2020 dan perubahan-perubahan yang dibawa oleh era cyberspace, dalam usaha mewujudkan generasi pelajar yang berminda saintifik, kreatif, inovatif, mencintai ilmu, progresif, berbudaya fikir, di samping berakhlak dan beradab (Wan Liz Ozman Wan Omar, 2000). Pembaharuan perlukan perubahan. Perubahan yang sangat utama dan penting ialah perubahan paradigma, sikap dan perlakuan agar setiap orang mampu berfungsi dan bersaing secara cekap dan berketrampilan. Satu daripadanya ialah konsep 'belajar sepanjang hayat' perlu menjadi amal budaya setiap pelajar menguasai 'belajar cara belajar' (UNESCO, 1995) dari segi:
Noor Azman Ibrahim (1998) menyenaraikan enam tema penting sistem pendidikan abad ke -21 dengan pembelajaran cara baru di mana pembelajaran tidak lagi merupakan satu proses yang dikendalikan oleh institusi pendidikan (Tapscott, 1996) Enam tema tersebut adalah:
Kewibawaan yang Dipersoalkan
Apakah ertinya apabila Tapscott (1996) menyatakan bahawa pembelajaran tidak lagi dikendalikan oleh institusi pendidikan awam (sahaja)? Di Amerika Syarikat murid-muird yang belajar di rumah (home schooling) semakin meningkat dari tahun ke tahun; merupakan fenomena baru sejak beberapa dekad lalu sebagai manifestasi kepada 'ketidakpercayaan' ibu bapa dan orang awam terhadap mutu dan prestasi pendidikan yang dilaksanakan oleh sekolah-sekolah awam.
Patricia M. Lings (1999) melaporkan sesi persekolahan tahun 1990-1991 terdapat 250,000 hingga 350,000 orang; sesi tahun 1995-1996 pula seramai 700,000 hingga 750,0000 orang kanak-kanak yang mengikuti homeschooling ini, dan manakala bagi sesei 1997-1998 telah mencecah seramai 1,000,000 orang kanak-kanak menyertai kaedah dan pendekatan belajar di rumah ini.
Salah satu daripada rtiga sebab mengapa berkembangnya konsep belajar di rumah (homeschooling) ini menurut Erica Clery (1998), ialah wujudnya kebimbangan berlakunya 'kerosakan' mental, fizikal dan spiritual ke atas kanak-kanak yang belajar di sekolah-sekolah di bawah tadbiran dan seliaan kerajaan. Tidakkah 'bunga-bunga' kepada senario yang sama akan berlaku suatu hari nanti di negara kita sendiri, apatah lagi setelah mencapai status negara maju seperti yang diwawaskan? Tidakkah juga 'gejala-gejala kerosakan' ini sudah pun wujud dan berlaku dan saban tahun ianya semakin parah dan berdarah sehingga sistem pendidikan kita didakwa 'sudah ketinggalan zaman' oleh kesatuan perguruan kebangsaan Malaysia?
Dengan yang demikian kita selaku guru-guru perlulah menyedari, memahami, dan menghayati betapa konsep penambahbaikan yang berterusan itu perlu dilaksanakan tanpa garis penamat sebagaimana gagasan yang dibawa menerusi Standard Tinggi Kualiti Pendidikan.
Memperkasa Diri
Guru adalah nadi kepada sekolah. Profesionalismenya adalah kunci kepada peningkatan kualiti (Jemaah Nazir, 2001). Kualiti yang dimaksudkan bukan sahaja kepada kualiti proses malah yang lebih utama ialah kualiti outputnya (hasil). Perkara ini tidak mungkin dicapai jika individu, kumpulan, kelompok dan organisasi tidak cekap dan tidak berkesan. Maka itulah sumber manusianya perlu dibangunkan secara bersepadu menerusi latihan-latihan tertentu bagi memastikan setiap individu itu dapat mengembangkan potensi dan bakatnya. Pengalaman-pengalaman yang diterima menerusi program pembangunan profesional ini sama ada ianya bersifat latihan-latihan khusus atau pun pengalaman sebenar di tempat kerja sudah barang tentu membolehkan atau mengupayakan guru-guru bertindak atau berpelakuan secara berkesan untuk meningkatkan kualiti pendidikan sekolahnya. Menjadi guru yang perkasa bukanlah bererti perkasa dari segi fizikal dan tenaga sahaja tetapi yang lebih penting ialah keperkasaan dari aspek profesionalismenya, prinsipnya, keutuhan keperibadiannya, kecekapan dan ketrampilannya, mental dan keintelektualannya, kestabilan emosi dan spiritualnya serta kebijaksanaan dan kepemimpinannya. Oleh itu menjadi seorang guru yang perkasa amat dipengaruhi oleh tahap tinggi atau rendahnya ciri-ciri dan prestasi profesionalismenya; teguh, tegas dan utuh atau rapuh, lemah dan tidak tegas pegangan hidup dan prinsipnya; luas, tinggi dasn mendalam atau sebaliknya dari segi intelektualnya yang digambarkan menerusi kesedaran-diri dan faham-kendiri yang mendasari kebijaksanaan dan hemah dalam kepimpinan. Seorang guru yang perkasa juga seorang guru yang cekap dan berkesan. Eilane (2000) ytelah mengenalpasti beberapa ciri seseorang guru yang amat berkesan (highly effective) yang dikategorikan kepada tiga aspek iaitu:
Memperkasa dengan Penilaian dan Berpusatkan Prinsip Guru sering menilai anak didiknya tetapi pernahkah kita menilai diri sendiri? Sedarkah kita sebagai guru yang kerjanya 'mengajar sepanjang hayat' (sebelum bersara wajib) kita telah tidak cukup melakukan satu perkara sepenting ini? Kalau begitu bagaimana kita tahu dan boleh meningkatkan tahap profesionalisme kita? L. Dee Fink (1999), dalam satu artikelnya "Evaluating Your Own Teaching" menyebut: " Assuming that no one is perfect and therefore everyone has room for improvement, evaluation is the means by which ewe try to identify which aspects of our teaching are good and which need to be changed. The question then arises as two who should take responsibility for doing this evaluation. My believe is that evaluation is an inherent part of good teaching. Therefore it is the teacher himself or herself who should take primary responsibility for doing the evaluation."
"To improve is to change. And to be perfect is to change often", demikian ujar Winston Churchill. Jadi titik tolak bagi melakukan perubahan, dan kemudian mencapai kemahiran dan kesempurnaan memakan masa dan dayausaha. Bagi mencapai perubahan yang berjaya dan berkesan perlukan seseorang itu bukan sahaja menambah pengetahuan dan kemahiran baru malah sering pula memerlukan kita belajar semula sesuatu konsep, kaedah dan teknik yang mungkin kini sudah usang. Tidak ada orang yang tidak boleh melakukan aspek belajar semula ini kecuali seseorang itu sudah merasa dirinya sudah lengkap segala-galanya seperti kata Epictetus (55-135 M); "It is impossible for anyone to begin to learn what he believes he already knows." Pengalaman berserta beraneka kemahiran yang dititipkan oleh guru menerusi proses pengajaran dan pembelajaran umpamanya bermaksud melalukan perubahan sikap, seterusnya mengubah pemikiran dan paradigma sehingga terciptalah tangkah-laku yang dihasratkan itu tercapai. Menurut Dee Fink lagi penilaian bagi menghasilkan perubahan ke arah peningkatan profesionalisme individu seseorang guru itu amat besar faedahnya berdasarkan tiga sebab. 1. Pertama, tanpa mengambil kira bagaimana baik atau buruk kita sebagai guru-guru, kita semua mempunyai potensi, menjadi lebih baik lama-kelamaan. Sementara sebahagian guru-guru bertambah baik dan hampir menemui potensi mereka, sayang sebahagian yang lainnya mengalami peningkatan yang kecil sahaja sewaktu peringkat awal kerjaya dan kemudiannya seolah-olah 'mendatar' kualitinya malah kadang-kadang 'merosot'. Kenapa? Natijahnya terdapat perbezaan pokok di antara mereka yang berjaya dengan mereka yang gagal meningkat, adalah disebabkan golongan pertama itu mengumpul maklumat mengenai pengajaran mereka dan mengambil daya usaha bagi penambahbaikan sesetengah aspek daripadanya - setiap kali mereka mengajar. 2. Sebab kedua mengapa perlunya membuat penilaian adalah bagi mendokumentasikan kualiti seseorang bagi rujukan pihak lain, yang perlu mengetahui track record seseorang sepanjang kerjayanya. Satu cara sahaja guru-guru boleh membekalkan maklumat seumpama ini iaitu dengan cara mengumpulnya, dan inilah penilaian. Dengan kaedah ini juga dapat membantu seseorang guru itu memahami keberkesanan pengajarannya dengan lebih baik lagi. 3. Sebab ketiga pula merupakan satu keperluan yang bersifat peribadi dan keinginan manusia untuk menilai. Hal ini adalah bagi kepuasan mental dan psikologikal diri sendiri. Melakukan sesuatu kerja dengan baik adalah satu perkara; manakala satu perkara lagi dengan memiliki maklumat yang padu, kita tahu kita telah melakukan kerja dengan baik. Pengetahuan dan kepastian ini hanya mungkin jika kita membuat penilaian yang rapi dan telus. Antara "Powerful" atau "Powerless" Selepas kita melakukan penilaian baharulah kita tahu status atau kedudukan tahap dan taraf ketrampilan kita selaku guru yang bagaimana; cergas dan cerdas; pantas dan tangkas; cekal dan tabah; mengurus masa atau membuang masa? Kemudian baru kita boleh "memilih" ada untuk menjadi guru yang "powerful" atau "powerless". Tentulah bagi menjadi seorang guru yang perkasa kita mestilah seorang yang "powerful" bukan sebaliknya. Jadi pilihan di tangan kita. Perasaan dan perlakuan "tidak berdaya" ("powerless") boleh berlaku daripada sekecil-kecil insiden atau peristiwa sehingga kepada masalah atau perkara yang besar. Jika kita gagal mengatsasi atau membiarkan keadaan "tidak berdaya" ini kita akan menjadi lebih tidak berdaya saing, lemah jiwa dan raga, lemah mental dan spiritual akhirnya kita melihat dunia dan kehidupan tidak memberi erti apa-apa, selanjutanya kita kecewa dan sengsara serta merintih nasib dan takdir. Apa yang kita buat apabila kita memilih menjadi seorang yang "powerless" ialah; tak kisah, tunggu, lengah atau lewatkan, tidak ambil tindakan atau "buat de' "sahaja, hampa, jadi tidak peduli, abaikan dan jadi seorang yang acuh tak acuh. Kemudian apa pula yang kita dapat bila kita merasa "powerless"; status quo, hubungan yang Kalah/Menang (Lose/Win), tidak dijangka/hasil yang tidak diketahui, ketidakpastian, hasrat dan angan-angan (fantasi), dan merosot keupayaan seterusnya prestasi jadi rendah. Jadilah Seorang Yang Powerful Jelas menjadi seorang yang "powerless" tidak menjanjikan sebarang kebaikan dan faedah sama ada dari segi peribadi, kumpulan, kelompok atau pun organisasi dan kerjaya yang kita ceburi. Tentulah kita memilih untuk menjadi "powerful" dan berjaya dalam semua bidang dan aspek kehidupan berkeluarga, sosial dan kerjaya dan dapat menyumbang kepada kesejahteraan bangsa dan negara menerusi tugas mendidik yang kita hayati ini. Dalam menajdi "powerful" kita perlu kenal tiga "kuasa" yang masing-masing ada baik dan buruknya iatu i) kuasa paksaan, ii) kuasa utiliti dan iii) kuasa berpusatkan prinsip (principle-centered). Fokus kita ialah kepada kuasa berpusatkan prinsip (principle-centered power) bagi mencapai hasrat menjadi guru yang perkasa; guru sebenar guru -- ke sekolah tidak jemu mengajar tidak lesu! Kuasa berpusatkan prinsip adaah berasaskan apa yang anda boleh buat dengan orang-orang lain. Kuasa berpusatkan prinsip juga ertinya berasaskan 'hormat': individu yang dihormati akan dipercayai, disegani dan menjadi inspirasi kepada orang-orang lain, dan oleh itu kepemimpinannya diterima sepenuh hati. Oleh itu guuu-guru yang perkasa berpusatkan prinsip ini akan menjurus kepada kawalan-kendiri, tingkah-laku beretika dan kehidupan yang proaktif (Blaine Lee, 1997). Salah satu prinsip penting dalam mengurus diri dan organisasi ialah prinsip samarata atau adil (kepada orang lain dan kepada diri). Oleh itu satu keperluan yang mesti ada ialah keberanian menghadapinya, serta kemampuan dan keupayaan membuat teguran dan ulasan bagi membetulkan mana-mana individu yang tersasar dari landasan dan terkeluar dari tujuan dan matlamat organisasi. Di sini prinsip 'Bukan Kepada Siapa Betul Tetapi Kepada Apa Yang Betul' hendaklah menjadi pegangan. Intipati kepada prinsip ini ialah apa yang betul atau apa yang tidak betul bukan berdasarkan seseorang itu ketua (boss) atau penngikut (subordinate), tetapi kepada apakah persoalannya, apakah kesan atau implikasinya, atau apakah tafsiran dari segi falsah, peraturan, dan objektivitinya, di mana matlamat akhirnya semua orang akan buat perkara yang betul dan tidak dipertikaikan lagi. Kesan dan Hasil Kuasa Berpusatkan Prinsip Guru-guru yang perkasa berpusatkan prinsip ini akan memberi pengaruh kepada berlakunya transformasi budaya belajar dan mengajar yang hebat. Transformasi ialah perubahan, yakni perubahan yang disebabkan wujudnya perhubungan di mana 'hormat' menjadi asasnya. Manusia tidak setia kepada logo -- mereka setia kepad orang lain (pemimpin berprinsip). Blaine Lee (1997) dalam bukunya The Power Principle: Influence With Honour menyenaraikan empat kesan yang terhasil daripada kuasa berpusatkan prinsip ini sebagaimana berikut: 1. Kuasa berkekalan : Apabila kesan dan pengaruh orang perkasa ini tetap bersama atau di alam diri walaupun orang itu sudah tiada di dunia ini. Ertinya pengaruh orang yang perkasa ini meninggalkan kesan yang bukan sedikit malah berterusan sehingga pengaruh ini di 'turunkan' pula keapada generasi seterusnya. Tidak seperti kesan daripada kuasa paksaan yang cuma berkesan selagi orang takut. Juga tidak seperti kesan kuasa utiliti, ia datang dan ia pergi dan sangat bersifat sementara. Tetapi kuasa berpusatkan prinsip mewujudkan perhubungan yang berkekalan -- ia tidak terhenti bila pengurusan baru mengambil alih, tidak juga menjadi ketinggalan zaman bila muncul sesuatu yang baru. 2. Tingkah-laku Proaktif : Kuasa berpusatkan prinsip menggalakkan tingkah-laku proaktif yang membina dan membawa perhubungan yang bukan bersifat situasional tetapi transformasional yang bererti kita membuat pilihan kepada mana yang lebih penting dan mana yang lebih bernilai dan berharga. Tingkah-laku proaktif melahirkan tingkah-laku yang dihormati: tak perlu penyeliaan, tak perlu mandur. Guru-guru yang bertingkah-laku proaktif dalam konteks ini sebenarnya memiliki standard dalaman yang lebih tiggi daripada apa yang diletakkan kepadanya. Ia tidak memikirkan untuk buat perkara lain, kerana bertentangan dengan jiwanya. Jika tingkah-lakunya merosot ke bawah paras yang ditentukan (standard), guru yang proaktif ini mampu 'membetulkan dirinya'. Falsafahnya "Saya boleh buat lebih baik. Saya boleh jadi lebih baik." 3. Kawalan-kendiri : Ini bukan lagi kuasa yang datang dari luar. Kuasa berpusatkan prinsip fokusnya ke dalam diri. Ianya bergantung kepada keupayaan dalaman masing-masing bagi lebih tabah, lebih giat, lebih bersungguh-sungguh bila mengesampingkan apa yang mereka mahu berbanding apa yang lebih besar dan mustahak. Ini akhirnya membuatkan seseorang itu sanggup berkorban; iaitu melupakan apa yang kita hendak sekarang kerana hendakkan perkara-perkara yang lebih mendesak. 4. Membina Kesaling-bergantungan : Dalam kehidupan manusia tidak boleh hidup dan bekerja seorang diri, tidak kira sekaya mana atau selemah atau semiskin mana sekalipun, apatah lagi di dalam organisasi dan institusi zaman sekarang. Menerusi kuasa paksaan kita memupuk dan menggalakkan pelbagai jenis kebergantungan, manakala dalam kuasa utiliti ianya memupuk dan menggalakkan kebebasan -- kebebasan untuk memilih seperti kita boleh memilih untuk bersatu atau kita memilih untuk berpisah. Oleh itu kesaling-bergantungan adalah kesan daripada kuasa berpusatkan prinsip: yang boleh menjawab soalan, "Apa yang boleh dan apa yang akan jadi bila kita bersatu?" Kesaling-bergantungan juga melahirkan sinergi daripada seluruh individu agar matlamat dan objektif institusi dan organisasi tercapai dengan cemerlang dan gemilang.
Aspek-aspek yang kita buat daripada budaya berpusatkan prinsip ini adalah: meyakinkan; jadi sabar; jadi penyantun; mengajar; menerima; baik hati; menyayangi; belajar; berdisiplin; jadi istiqamah dan hidup dengan keutuhan.
Ini pula kesan atau hasil yang kita dapat dengan budaya berpusatkan prinsip: rakan dan perkongsian, transformasi yang bertimbal balik, sinergi, risiko yang diambil kira, pertambahan keupayaan, kawalan dalaman yang positif, kawalan-kendiri, tingkah-laku beretika, hubungan yang saling bergantung, proaktiviti, kepercayaan, penyelesaian secara Menang/Menang (Win/Win), persetujuan rakan-kongsi dn kepuasan mendalam hubungan jangka-panjang.
Siapa Guru Sebenar Guru: Ke Sekolah Tidak Jemu Mengajar Tidak Lesu?
Sebagai golongan orang-orang yang berilmu pengetahuan dan terlatih guru-guru bukan sahaja perlu mahir dalam bidang masing-masing tetapi juga mestilah berkebolehan menggunakan teknologi komputer secara kreatif dan inovatif. Mereka hendaklah melihat revolusi sistem pendidikan ini sebagai satu peluang untuk meningkatkan kualtiti dan produktiviti pendidikan bukannya sebagai ancaman kepada masa depan karier mereka (Wan Liz Ozman, 2000). Jadi menyediakan diri menjadi guru yang perkasa perlukan latihan dan latihan-latihan semula secara berterusan atau bila-bila sahaja jika ada peluang dan kesempatan. Hanya dengan sikap proaktif, semangat dan keinginan yang tinggi bagi memperlengkapkan diri sahajalah seseorang itu guru itu mampu menyesuaikan dirinya dengan pelbagai cabaran, tuntutan dan tekanan tugas dan kerja yang sering berubah dalam proses peningkatan dan pembaharuan seperti tersirat di dalam Standard Tinggi Kualiti Pendidikan hari ini.]
Guru sebenar guru ialah seorang guru yang memiliki sifat dan ciri-ciri unggul sebagai penyampai ilmu (yang benar), sebagai penyemai nilai luhur, pembimbing, penunjuk ajar dan pemberi pedoman hidup serta yang paling penting dan berkesan sebagai contoh dan teladan kepada setiap anak didiknya. Guru ynag perkasa bukan sahaja sihat tubuh badan dan sihat pula mental dan pemikirannya tetapi seorang yang penuh dengan sifat-sifat iltizam, dedikasi, bertanggungjawab, komited, tekun, sabar, bertimbang rasa, rajin, ceria, amanah, berpegang kepada janji; tetap tidak akan mengkhianati tugasnya atau murid-muridnya.
Prinsip utamanya seorang guru yang perkasa mesti faham bahwa tugas 'mengajar dan mendidik serta meneladan' adalah pekerjaan yang sangat mulia. Guru sebenar guru mestilah dapat menganggap pergi ke sekolah sebagai pergi ke medan jihad (menentang, membasmi dan mencegah kejahilan, kebodohan, kebebalan, kelemahan, kealpaan, kemunduran dan kehinaan akibat tidak berilmu pengetahuan) dan kerja mengajar pula (tanpa sebarang muslihat dan tipu helah) sebagai suatu ibadah. Oleh itu seseorang guru itu akan memainkan peranan mengikut keadaan dan situasi secara penuh tanggungjawab, jujur dan ikhlas; yang di dalam Islam guru sebenar guru ini dikelaskan sebagai:
Seorang guru yang perkasa tidak akan cepat menyalahkan keadaan dan tempat sebelum ia menyalahkan dirinya terlebih dahulu, dan di samping itu pula berusaha meningkatkan ketrampilan dan kewibawaan diri ke tahap yang paling tinggi.
Penutup
Tugas murni lagi mulia kita sebagai guru seharusnya jangan dicemari dengan gejala-gejala buruk yang merosakkan sehingga kelemahan, kemunduran dan kegagalan pendidikan yang kita pikul hari ini dari segi menyediakan pengalaman-pengalaman berguna bagi kegunaan masa hadapan anak-anak didik kita nanti, akan menyebabkan adanya individu yang ingin maju tetapi hanya berlegar sekitar mediocrity, dan tidak pun berupaya menggunakan peranan mereka untuk citarasanya apatah lagi memenuhi citarasa bangsa dan negaranya. Kegagalan ini juga nanti menghasilkan individu yang menjalankan sekerja separuh hati, atau sekadar makan gaji (Jemaah Nazir, 2000). Oleh itu selaku guru-guru kita sewajarnya menyedari hal ini dan oleh kerana itu juga amat penting diingat bahawa apa jua yang kita buat dan apa jua yang kita tidak buat akan mencerminkan siapa diri kita sebenarnya. Dalam banyak senario kita boleh lihat dan nilai sendiri bagaimana guru yahg dikatakan seorang guru yang tidak jemu apabila sentiasa menampilkan sikap dan perlakuan positif seperti datangnya awal baliknya lewat; atau seorang guru yang tidak jemu mengajar biarpun berhadapan dengan segelintir murid yang lemah., lambat dan dengan berbagai karenah; guru yang tidak lesu tetapi tetap bertenaga dari pagi sampai ke tengah hari (atau petang); ia tidak membezakan murid atau kelas yang cerdas dengan murid atau kelas yang kurang cerdas. Jangan sekali-kali ada perasaan apatah lagi tersimpan niat di hati, akibat dari sikap dan perbuatan kita, kita sangka yang rosak dan buruk hanyalah organisasi atau sekolah kita sahaja; malah kerosakan yang lebih besar ialah rosaknya nama baik, cemarnya maruah, buruknya perangai diri sendiri akibat mengikutkan hati dan nafsu ammarah kita sehingga kita tidak mampu lagi mengenal atau membezakan mana kaca mana intan, mana emas sepuluh mana emas sepuh. Kita harus berani dan secara gentleman mengakui bahawa apa jua kelemahan dan kebejatan profesionalisme yang wujud dan berlaku di sekolah kita masing-masing (apatah lagi jika kita peneraju atau primadonanya) sehingga senario dan fenomena yang terpancar di kava TV atau di dada-dada akhbar masalah-masalah sosial yan berkaitan dengan sistem pendidikan negara mendesak agar usaha pihak institusi pendidikan perlu diletakkan pada landasan yang lebih efisien lagi. Dan kita tidak mungkin menjadi efisien jika kita bukan seorang guru yang perkasa; jika kita seorang guru yang "powerless"; jika kita seorang guru yang tidak ada prinsip; jika kita seorang yang buta mata hati; jika kita seorang guru yang tahu tapi tidak mahu; atau jika kita seorang guru yang ada ilmu tapi tidak beramal dengan ilmunya. Setiap dari kita pasti mampu dan berjaya menjadi seorang guru yang perkasa: ke sekolah tidak jemu mengajar tidak lesu jika kita menghayati sabda Rasulullah s.a.w. yang mafhumnya; "Barangsiapa yang amalannya hari ini lebih baik dari semalam; dia adalah orang yang beruntung. Barangsiapa yang amalannya hari ini sama dengan yang semalam, dia adalah orang yang rugi. Dan barangsiapa yang amalannya hari ini lebih buruk dari hari semalam, dia tergolong orang yang dilaknat Allah S.W.T." ٱ
Rujukan
Lee, Blaine (1997). The Power Principle: Influence With Honor. Simon & Schuster, New York, USA.
Elaine, McEwan (1998-2001). Ten Traits of Highly Effective Teachers, McEwan-Adwin Groups. http://www.elainemcewan.com/ten_traits_teachers.htm 30.09.2001
Clery, E.(1998). Home Schooling : The Meaning That The Homeschooled Child Assigns to This Experience. Issues in Educational Research, 8(1), 1-13. http://cleomurdoch.edu.au/gen/iir/iier8/clery.html
Fink, L.Dee (1999). Evaluating Your Own Teaching. Terbit dalam Improving College Teaching oleh Peter Seldin (ed.). University of Oklahoma Instructional Development Program, July 20, 1999.
Leblanc, Richard (1998). Good Teaching: The To Ten Requirements. Terbit dalam The Teaching Professor.
Noor Azmi Ibrahim (1998). Kurikulum Abad Ke-21: Pengembangan dan Penekanan, Jurnal Kurikulum Pusat Perkembangan Kurikulum Kementerian Pendidikan, Kuala Lumpur.
M.Lings, Patricia (1999). Homeschoolers: Estimating Number and Growth. National Institute on Student Achievement, Curriculum, and Assessment, Office of Educational Research and Improvement, U.S. Department of Education. Web Edition, 1999. http://www.nfie.org/2000/htm
Wan Liz Ozman Wan Omar (2000). Mengurus Agenda Abad 21 : Cabaran Dan Persiapan Dalam Era Globalisasi, Golden Books Centre Sdn. Bhd. Kuala Lumpur.
______________________________________________________________________________________________ (Ceramah yang disampaikan dalam Program Motivasi Sekolah-sekolah Kelompok Bandar Jengka B Tahun 2001 bertempat di SMK Jengka 16, pada 27 Oktober 2001)
| Home Page | Kembali | Ceramah 1 | Ceramah 2 | Ceramah 3 | Ceramah 4 | Ceramah 5 | | Ceramah 6 | Ceramah 7 | Ceramah 8 | Ceramah 9
Copyright ©2002-2003 Hamzah Mohamed
|