Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

                                Selamat Datang Ke Laman

                        

 

                                                        

   

  Dalam pencarian "Guru Sebenar Guru"...antara ilmu, amal dan bual; manakah satu yang sebenarnya bekal? 

    Ramai mengaku 'berilmu' tapi kurang  berakal apatah lagi yang sedikit ilmunya tapi langsung tidak berakal;

 

                                                                itulah punca amal  dan  bual tidak menjadi bekal.   

 

                              

  

Keranamu

Malaysia

 

 

(Hamzah

Mohamed)

 

Mengenai Saya

Sila ke laman

Latar Belakang Saya

 

Klik Di Sini 

 

 

 

" Tidak akan

        kamu

 berperasaan

 gundah walau sekali,

 jika kau tahu apa

 yang dicari."

 

 ~ Umar

 al-Khattab

           

 

 

 

 

                              

                               Memperkasa Guru Sebenar Guru

                                                    Dalam

                          Membangun Diri Menunaikan Amanah

                                Guru Mengajar Murid Belajar

 

       "Tidak akan kamu berperasaan gundah walau sekali, jika kau tahu apa yang dicari."

                                                  ~ Umar Al-Khattab

 

 

  Objektif Sesi Hari Ini

 

  • Mengenal dan menilai diri dari aspek profesionalisme dan profesionaliti

  • Antara keunggulan dan realiti wujud ruang (jihad) membangunkan potensi diri

  • Antara iman, amal dan bual, mana satu menjadi bekal?

  • Jadilah Guru Sebenar Guru: Ke Sekolah Tidak Jemu Mengajar Tidak Lesu

  • Memenuhi tuntutan Guru Mengajar Murid belajar

 

  "Profesionalisme" (bagi Eric Hoyle,1980) adalah sikap dan tindakan yang menyentuh aspek-aspek yang berkaitan dengan pekerjaan seperti hal-hal tentang syarat-syarat kerja, soal

   gaji dan upah, jadual tugas dan hal-hal lain yang berkaitan dengannya. Semuanya adalah hal-hal yang selalu dihubungkaitkan dengan perjuangan kesatuan sekerja.

  "Profesionaliti" pula ialah sikap dan tingkah-laku yang ditunjukkan oleh seseorang terhadap "profesionnya" serta taraf pengetahuan dan ketrampilan dalam bidang pekerjaan itu.

 

   Seseorang guru yang sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan kualiti pengajarannya dan sentiasa mementingkan kejayaan dan kebajikan murid-muridnya dikatakan mempunyai

 "profesionaliti" yang tinggi. Dengan kata lain, guru itu  melihat perguruan dan tugasnya bukan semata-mata sebagai satu "pekerjaaan" tetapi sebagai satu "profesion" (Omar

   Hashim,1993).

 

   Sifat dan Ciri-Ciri Seorang Guru Yang Perkasa

 

  Terhadap Murid:

 

  1. punyai empati dan komitmen dalam menghargai maruah orang lain (iaitu anak didik, ibu bapa dan rakan sejawat) dalam mengejar hasil dari segi afektif dan juga kognitif

  2. hubungkan 'mata plajaran' dengan kehidupan murid-murid

  3. kenal, hormati dan percayai murid-murid

  4. mengajar murid-murid bagaimana hendak belajar, menganalisa dan berfikir secara kritis

  5. menjana idea-idea baru dan menarik bagi murid-murid berfikir mengenainya

  6. menggalakkan murid-murid bertanyakan soalan mengenai pelajaran

  7. hadir dalam lain-lain aktiviti di mana murid-murid terlibat seperti sukan, persembahan musikal dn kebudayaan.

 

  Terhadap Mengajar:

 

  1. melakukan refleksi dan kritik-kendiri, mercu tanda profesionalisme seorang guru

  2. berfikir secara sistematik mengenai amalannya dan belajar daripada pengalaman

  3. adil dalam menilai dan menggred

  4. fleksibel dalam pendekatan-pendekatan pengajaran dan pembelajaran

  5. bersemangat dalam mengajar , murid-murid dalam sesuatu mata pelajaran

  6. seorang komunikator yang cemerlang; mampu menjadikan idea-idea yang kompleks mudah difahami dengan itu murid-murid dapat memahami dan menghargainya

  7. sering mengukur kemajuan dan memberikan maklumbalas kepada murid-murid

  8. merancang pengajaran terlebih dahulu, beri masa yang cukup bagi setiap tajuk, dan menyepadukan mata pelajaran

  9. secara berterusan mengukur pendekatan, syarahan dan ujian-ujian bagi memastikan kurikulum yang sentiasa 'baru dan segar' serta relevan

  10. menyertai jawatankuasa-jawatankuasa bagi menambahbaik sekolah, jabatan atau dirinya sendiri.

 

  Terhadap Disiplin:

 

  1. seorang yang pakar dalam bidang yang dia ajar

  2. seorang yang 'laparkan' ilmu; sentiasa up to date dalam bidangnya dengan membaca; menghadiri konferens, konvensyen, bengkel dan seminar; dan mengikuti kursus-kursus dalam perkhidmatan

  3. juga seorang yang suka 'belajar' perkara-perkara di luar bidangnya

  4. aktif dalam penubuhan profesional dan menggalakkan rakan sejawat menyertainya

  5. menjadi ahli kepada komuniti yang belajar

  6. bina dan mengekalkan perhubungan profesional

  7. bekerja dalam organisasi sekolah yang luas

 

  Secara Peribadinya:

 

  1. tunjukkan contoh dan teladan yang utuh di dalam atau di luar bilik darjah dan mengajar kebertanggungjawaban murid-murid serta standard yang tinggi

  2. berfikiran terbuka, rendah diri, dan bersikap optimistik.

 

 

  Antara "Keunggulan" dengan "Realiti" wujud ruang lakukan "Perjuangan"

 

  Apa yang "unggul" itu?

  Boleh diukur dan dinilai menerusi aspek i) Diri Peribadi  2) Organisasi  3) Iklim dan

  Budaya Kerja.

  1. Diri peribadi: bersikap positif dan memiliki ketrampilan pengetahuan dan kemahiran yang tidak dipertikai; berfikiran terbuka (tidak sempit, jumud dan beku); pengurusan masa dan diri yang tinggi (selalu on time, datang awal, masuk kelas cepat, mengajar dengan penuh dedikasi dan penuh sifat dan ciri-ciri profesionalisme dan profesionaliti yang tinggi);suka bekerjasama dengan rakan sejawat (tidak lokek ilmu); hasil kerja yang berkualiti (dari segi isi kandungan, format, gaya dan persembahan) memenuhi sifat-sifat seorang yang inovatif, kreatif dan produktif; sabar dalam melayani karenah anak didik dan juga rakan sejawatan; berpegang kepada prinsip yang jelas, betul, benar, dan utuh di dalam semua keadaan dan situasi.

  2. Organisasi: dapat dilihat sebagai sebuah organisasi yang sistematik, teratur dan tertib; jelas susun atur heirarki tugas dan kuasa; wujud kolaborasi, kolegialiti dan partisipasi; masing-massing individu faham dan menyumbang kepada kegemilangan organisasi.

  3. Iklim dan Budaya Kerja: diri peribadi yang jadi ahli organisasi akan tentukan senario, suasana atau pun iklim seluruh premis yang akhirnya wujud sebagai satu budaya kerja berkualiti dan cemerlang; persekitaran yang bersih, ceria dan selamat; suasana yang kondusif kepada pembelajaran bermakna; anak didik yang aktif dan responsif tetapi bukan bising tak tentu hala.

 

  Tetapi "realitinya" bagaimana?

 

  1. Aspek peribadi: bersikap yang tidak sesuai dan tidak cerminkan seorang (atau guru-guru) yang sejati dengan tingkah-laku dan gelagat yang merendahkan martabat diri dan organisasi;    

     datang lewat, lambat masuk kelas mengajar, atau kalau masuk tidak mengajar, atau masuk sekejap kemudian tinggalkan murid buat kerja sendiri, suka buang masa (berborak dan

     bersembang semasa bertugas), buat sibuk pada masa dia tidak sibuk; semuanya ini jadi amalan dan tak rasa malu apatah lagi rasa berdosa.Pengetahuan dan kemahiranyang tidak     

     berkembang; walau dah lama menjadi guru tetapi kerja masih comot, kabur, salah sana salah sini, tak faham format dan kandungan, sangat lewat siapkan laporan data dan

     maklumat (termasuk analisis dan diagnosis) dan masih tak pandai buat minit mesyuarat atau belum faham-faham bezakan antara laporan dan minit; dokumen murid sering tidak  

     kemaskini; buku-buku latihan murid sangat lama tidak diperiksa; dan paling buruk sikap bodoh sombong, besar diri dan sangka diri paling betul hingga kerja wajib sebagai seorang

     guru ditinggalkan dan melebihkan kerja-kerja lain yang bukan wajib (direct selling dan seumpamanya); bagaimana kita hendak jadi Guru Sebenar Guru?

 

  2. Aspek Organisasi pula kenyataannya datangnya daripada sikap dan perlakuan para ahlinya; sering wujud senario nafsu-nafsi (tidak landaskan prinsip dan peraturan)  akhirnya  

      terbentuk organisasi yang kalut, caca-marba, ikut suka; hingga berlarutan bertahun-tahun maka wujudlah beberapa status organisasi seperti: i) Organisasi  Bermasalah,  ii) 

      Organisasi Terbiar,  iii) Organisasi Berpenyakit,  iv) Organisasi Bebas-Cukai dan v) Organisasi Mentaliti "Mengajar sebagai Kerja Bodoh."

 

 3. Aspek Iklim dan Budaya Kerja: Reaitinya iklim yang gambarkan "budaya organisasi" yang sentiasa di bawah standard dan jangkaan semua pelanggan dalaman dan luaran atau tidak  

     memenuhi aspirasi masyarakat dan negara. Maka terdengarlah segala macam rungutan, komen dan kritikan daripada rakyat jelata di desa sampailah kepada Perdana Menteri yang

     memerintah negara; antarnya seperti "Kita tidak serius sebagai Guru Besar..."; "..sekolah kebangsaan tidak menarik dan kurang berdisiplin.'; "3M tidak berkesan di sekolah kebangsaan 

     berbanding SJK Cina."; "Sebanyak 1,919 buah sekolah dikenalpasti sebagai sekolah prestasi rendah (SPR) kerana pencapaian bawah 30% kelulusan UPSR (1999)"; " Pelajar-pelajar Melayu tertinggal

     dalam pelajaran seawal di bangku sekolah rendah lagi...."; adalah fakta dan faktor yang mesti kita terima dan akui bagi membanteras dan memperbaikinya melalui ruang yang luas di mana

     kita bebas membuat pilihan...yakni pilihan perjuangan menghapuskan kealpaan, kelederan, kelewatan, ketidakakuran, kelemahan dan kehinaan akibat dari kebejatan

     profesioanlisme.

 

  Kita sebagai Apa yang Kita Fikirkan

 

  Apa yang kita percayai dan yakini itulah yang kita buat dan lakukan (amalan hidup); dan apa yang kita buat dan apa yang kita tidak buat akan jadi "warisan" (legacy) setelah kita

  berpindah sekolah. Apabila kita secara tekal berfikir, bertindak (beramal) dan mengutamakan motif diri kita inilah kemudiannya yang digelar sebagai sikap. Oleh itu kaitan antara

  pemikiran, perbuatan atau tingkah-laku dan kepercayaan (beliefs) amatlah saling berkait rapat dalam membezakan seseorang personaliti dengan personaliti yang  lain.

 

  Jika kita fikirkan mengajar bersungguh-sungguh tidak penting (asal ajar sudah) maka kerja mengajar kita jadilah sebagaimana seadanya sahaja, dan di mata anak didik kita  dilabel

  sebagai "guru malas". Begitu juga jika kita fikir datang awal atau masuk kelas segera sebagai tidak penting maka jadilah kita orang yang sentiasa 'lengahkan waktu' dan seolah-olah

  tidak berminat dalam pekerjaan kita sendiri. Atau apa yang kita asyik lebihkan masa berborak dan bersembang (termasuk adu domba, fitnah, hasut-menghasut, apatah lagi berpolitik)

  daripada mengajar anak didik sebaik-baiknya, maka jadilah kita orang-orang yang utamakan kerja yang tidak berkenaan dan mengabaikan kerja utama dan kerja yang wajib ke atas

   kita.Pendeknya  inilah yang dikatakan segala yang kita fikir, yakni menjadi 'kepercayaan kita' maka kita pasti melakukan segala 'kebejatan' ini yakni apa yang kita amalkan setiap hari

  sehingga menepati Hukum Ganjaran yakni "Apa Yang Disemai Itulah Yang Dituai"; dan inilah menjadi "warisaan" kita yang kita tinggalkan nanti.

 

   Jadilah Guru Sebenar Guru: Ke Sekolah Tidak Jemu Mengajar Tidak Lesu

 

   Setiap sesuatu di dunia ini mempunyai dua wajah; positif atau negatif; hitam atau putih; buruk atau baik; cemerlang atau kecundang; begitu juga sikap dan perlakuan kita   sebagai

   guru-guru yang bukan sahaja profesional sifatnya malah menunjukkan ciri-ciri profesionaliti yang tinggi sepanjang masa. Antara ciri-ciri membezakan antara guru yang  profesional

   dengan guru yang tidak; rujuk senarai semak berikut, dan marilah kita menukar sikap, persepsi dan posisi kita agar menjadi lebih perkasa dan berwibawa dalam melaksanakan tugas

   mulia sebagai seorang guru.

 

   Guru yang Profesional                                    Guru yang tidak Profesional  

 

  Mula kerja awal pagi                                       Mula kerja setelah loceng berbunyi

 

  Sedia bergerak awal hari                                 Sudah pun letih di awal pagi

 

  Mengurus dengan merancang                          Mengurus dengan krisis 

 

  Ada perancangan & matlamat                         Ada berbagai alasan

 

  Berpakaian secara 'profesional'                          Berpakaian selekeh

 

  Guna waktu luang sebagai waktu                   Guna waktu luang mengumpat dan mengeji

  'kerja'

 

  Suka ikuti latihan kerana berikan perkem-      Komplen tentang latihan dan pelik menga-

  bangan profesional                                           pa ianya perlu

 

  Dalam mesyuarat mereka duduk di mana        Dalam mesyuarat mereka duduk di tepi

  mereka boleh belajar                                        pintu

 

  Cari perkara-perkara untuk dipuji                    Cari perkara-perkara untuk dikomplen

 

  Berusaha cari punca sesuatu tidak berjalan      Salahkan orang lain bila sesuatu tidak ber-

                                                                           jalan

 

  Sedia buat keputusan dan selesai masalah       Bertanya  "Apa patut saya buat?"

 

  Lihat pentadbir sebagai rakan kongsi                Lihat pentadbir sebagai tempat  

  dalam pendidikan                                              melepaskan  geram

 

  Melanggan dan membaca jurnal profesional     Fikir jurnal profesional sebagai membazir-

                                                                            kan wang sahaja

 

  Mendapat penghormatan setiap hari                 Merungut kerana tidak dapat penghor-

                                                                            matan

 

  Buat yang terbaik                                              Buat apa orang lain buat

 

  Kembangsuburkan kerjaya mereka                   Bimbang tentang kerja mereka

 

  Rasa dan bertindak 'empowered'                         Rasa dan bertindak seperti mangsa

 

  Sedia untuk belajar dan dapatkan bantuan       Tidak sedia belajar atau terima bantuan

 

  Belanja wang untuk perkembangan profesio-   Enggan belanja untuk perkembangan

  nal atau untuk bilik darjah                                profesional atau untuk bilik darjah

 

  Percaya anak didik boleh belajar, dan lihat       Percaya anak didik degil, tidak

  tugas mereka membantu proses ini                    bertanggungjawab, dan malas

                 

  Melihat pekerjaan 'mengajar' sebagai satu         Melihat kerja mengajar sebagai satu kerja

  profesion paling mulia.                                      dengan gaji lumayan sahaja.

 

 

  Memenuhi Tuntutan "Guru Mengajar Murid Belajar"

 

  Objektif kita akhirnya ialah memenuhi tuntutan konsep "guru mengajar murid belajar" dapat direalisasikan pada tahap paling optimum dan dapat pula kita buktikan menerusi  kerja-buat

  kita setiap hari dan waktu. Bagi mencapai tahap ini semua kita mestilah membetulkan iman (kepercayaan), bual (percakapan), dan amal (segala perlakuan) kita sentiasa selaras antara

  ketiga-tiga aspek tersebut.

 

  Memenuhi tuntutan "Guru Mengajar Murid Belajar" pula perlukan semua kita menjadi guru-guru yang sebenar guru "Ke Sekolah Tidak Jemu Mengajar Tidak Lesu"; yang

  membawa erti seseorang guru itu penuh iltizam, dedikasi, komited dan bertanggungjawab tidak akan mengkhianati tugasnya dan murid-muirdnya. Prinsipnya ialah guru-guru mesti

  faham bahawa tugas 'mengajar dan mendidik' pekerjaan yang sangat mulia. Janganlah rosakkan 'kemuliaan tugas' ini dengan perangai dan gelagat yang tersasar  jauh daripada etika dan adab

  seorang guru yang mursyid. Guru-guru mestilah menganggap pergi ke sekolah sebagai pergi ke medan jihad dan kerja mengajar (tanpa muslihat dan tipu helah) sebagai suatu ibadah.

  Guru-guru begini tidak akan cepat menyalahkan keadaan dan tempat sebelum menyalahkan diri terlebih dahulu di samping berusaha meningkatkan ketrampilan dan kewibawaan diri.

 

  Guru Sebenar Guru tidak akan melakukan sesuatu yang akan merosakkan organisasi seperti: selalu ponteng; banyak beri alasan dan helah; sering mengelakkan diri daripada   menerima

  tugas dan tanggungjawab; menganggap sekolah hanya tempat kerja 'sementara' atau selalu beri alasan 'tidak cukup masa'. Guru sebenar guru tidak menunjukkan ciri-ciri 'orang malas'

  ketika di dalam kelas tetapi sebaliknya mengajar dengan penuh ceria dan  dengan penuh semangat serta bersungguh-sungguh, memeriksa buku-buku tanpa bertangguh.

 

  Penutup

 

  Fahamlah kita bahawa kecemerlangan organisasi dan institusi amat bergantung kepada mutu jatidiri individu yang berada di dalamnya sama ada ia seorang guru, pembantu  tadbir,

  pembantu am rendah atau pun pekerja rendah awam; yang semuanya mempunyai 'amanah tugas' dan tanggungjawab yang sudah jelas dan terperinci yang tidak boleh kita  dakwa bahawa

  kita tidak tahu mengenainya.

 

  Marilah kita menginsafinya dengan setulus ikhlas bahawa sebarang 'defisit  pembelajaran' misalnya adalah kerana kita selaku guru-guru yang tidak mengutamakan  masa sebaik

  mungkin semasa mengajar selama ini. Bagaimana pula kita akan dapat memenuhi tuntutan bekerja 8 jam sehari seperti yang sedang diura-urakan oleh pihak Kementerian Pendidikan

  jika waktu bekerjas 5½ jam sekarang ini pun kita sudah "lesu dan layu?"ٱ

 

 

 

  Rujukan

 

  Omar Mohd Hashim (1993). Pendidikan: Persoalan, Penyelesaian dan Harapan. Dewan  

  Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

 

 

  William E. Schneider, Ph.D., (1998). Why Good Managements Ideas Fail

   -  Understanding Your Corporate Culture. Paradigm Shift International USA.

 

 

  ___________________(2001); Penyataan Dasar Standard Tinggi Kualiti Pendidikan.

   Jemaah Nazir Sekolah Persekutuan, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur.

 

   ________________________________________________________________________________________

  Ceramah yang disampaikan di dalam Program Perkembangan Staf Sekolah Kebangsaan

  Telok Sentang, Temerloh pada 23 Mac 2002

 

  Ceramah yang sama disampaikan pula di dalam Program Perkembangan Staf Sekolah

  Kebangsaan Kampong Tengah, Temerloh pada 20 September 2002

 

  Ceramah yang sama (dengan beberapa tambahan kandungan) disampaikan di dalam

  Program Perkembangan Staf Sekolah Kebangsaan (LKTP) Jenderak Selatan, Kuala

  Krau pada 25 Januari 2003.

 

 

 

    |Homepage| Kembali | Ceramah 1 | Ceramah 2 | Ceramah 3 | Ceramah 4 | Ceramah 5 |

                                      | Ceramah 6 | Ceramah 7 | Ceramah 8 | Ceramah 9