Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

                                Selamat Datang Ke Laman

                        

 

                                                        

   

  Dalam pencarian "Guru Sebenar Guru"...antara ilmu, amal dan bual; manakah satu yang sebenarnya bekal? 

    Ramai mengaku 'berilmu' tapi kurang  berakal apatah lagi yang sedikit ilmunya tapi langsung tidak berakal;

 

                                                                itulah punca amal  dan  bual tidak menjadi bekal.    

                              

  

Keranamu

Malaysia

 

 

(Hamzah

Mohamed)

 

Mengenai Saya

Sila ke laman

Latar Belakang Saya

 

Klik Di Sini 

 

 

 

" Tidak akan

        kamu

 berperasaan

 gundah walau sekali,

 jika kau tahu apa

 yang dicari."

 

 ~ Umar

 al-Khattab

           

 

 

 

 

 

           Memoirku  

                   Prolog

     " If you once forfeit the confidence of your fellow citizens, you can never regain

         their respect and esteem. You may fool all of the people some of the time;

          you can even fool some of the people all the time; but you can't fool all

                                   of the people all of the time."

  

                                             ~ Abraham Lincoln

 

Waktu saya memulakan menulis memoirku ini, tinggal lagi kira-kira sembilan bulan sebelum saya bersara wajib dalam bulan November tahun 2002 ini. Saya merasakan perkhidmatan saya selama kira-kira lima tahun setengah di sekolah ini bukanlah lama benar dan selama tiga puluh tiga tahun pula berkecimpung dalam dunia pendidikan juga saya rasakan baru sebentar sahaja saya menjadi guru. Saya sering juga memikirkan apakah yang akan saya buat selepas ini? Alam persekolahan dan pendidikan amat sebati dengan jiwa dan hati saya lebih-lebih lagi saya memegang satu jawatan yang penting di sekolah sejak saya berumur 32 tahun lagi.  Saya tahu dan sedar begitu banyak dan berat tanggungjawab dan tugas yang mesti dilaksanakan apabila seseorang itu memegang jawatan 'eksekutif' di sekolah, dan saya selama tiga puluh tiga tahun yang lalu telah cuba memainkan peranan saya pada tahap yang paling tinggi yang saya mampu buat. Saya merasa puas melakukan semuanya ini, terutama dari aspek 'memimpin diri dan memimpin organisasi'

Saya pernah berkata kepada guru-guru saya bahawa saya berhasrat untuk terus 'mengajar' biar pun sampai ke hari terakhir perkhidmatan saya selaku seorang guru. Saya tidak mahu menjadi seperti kebanyakan orang lain yang sudah menunjukkan 'tidak berminat' lagi apabila menjelang sahaja hari persaraan. Saya juga sering meuar-uarkan kepada guru-guru saya bahawa tidaklah mudah menjadi seorang Guru Sebenar Guru : Ke Sekolah Tidak Jemu Mengajar Tidak Lesu, tetapi dengan kesedaran dan semangat keguruan yang tinggi dan sejati setiap dari kita mampu dan boleh menjadi guru-guru cemerlang seperti saya maksudkan itu. Saya pernah diberitahu oleh seorang rakan Guru Besar yang baru mengambil alih pengurusan sebuah sekolah bahawa beliau menyebut Guru Besar yang baru   bersara itu sebenarnya ..."Sudah dua tahun pencen sebelum pencen. Satu benda pun dia tak buat". Inilah yang dikatakan "mati sebelum mati"; dan saya minta kepada Allah s.w.t. supaya dijauhkan saya daripada bersikap, berfikiran dan berperlakuan sedemikian rupa. Inikah contoh dan teladan yang hendak kita tunjukkan dan "legacy" yang hendak kita tinggalkan setelah kita bersara? Apakah kita tidak sedikit pun 'malu' nanti nama kita disebut-sebut dengan pelbagai gelaran dan komen yang tidak enak didengar? Sedarkah kita semua akan hal ini?

Dalam banyak kesempatan berinteraksi dengan rakan-rakan yang lain (sama ada dia Guru Besar atau guru penolong biasa), saya sering sekali menerima pelbagai dakwaan yang semuanya merujuk kepada 'gelagat dan tingkah-laku' manusia bergelar guru di sekolah-sekolah yang tidak mampu mempamerkan sifat-sifat, ciri-ciri atau pun imej seseorang guru yang sebenar guru. Bahkan dalam waktu yang tinggal sedikit ini pun masih ada pihak sekolah yang memerlukan 'khidmat' saya dalam memberikan input pengetahuan dan pengalaman dalam sesi-sesi  Perkembangan Staf, dan dari maklumat dan maklumbalas yang saya dapat bahawa adalah amat jelas faktor pemimpin dan kepemimpinan di peringkat sekolah ini amat perlu sentiasa dimotivasikan bagi merealisasikan tahap pengurusan kurikulum dan pendidikan secara amnya berada di landasan yang betul, tepat dan berkualiti.

Pada 16 hingga 18 April 2002 yang baru lalu Majlis Guru Besar Daerah Maran (MGB) dengan persetujuan Pejabat Pendidikan Daerah Maran telah mengadakan Mesyuarat Profesional Guru Besar Maran bertempat di Rosa Passadena, Cameron Highlands. Salah satu "acara" yang diselitkan dalam perjumpaan MGB Maran ini ialah Majlis Meraikan Persaraan Guru Besar yang telah bersara baru-baru ini, di samping meraikan sekali mereka yang bakal bersara penghujung tahun ini, termasuklah saya sendiri. Dalam ucapan saya dalam majlis itu saya menyampaikan beberapa pandangan dan prinsip saya selaku bekas pengetua dan Guru Besar yang akan meninggalkan dunia pendidikan di samping cuba memberikan beberapa panduan bagi rakan-rakan Guru Besar atau bakal-bakal Guru Besar yang akan dilantik nanti. Antara aspek penting saya sebutkan bahawa sebagai Guru Besar saya menggunakan atau memegang prinsip melakukan "What Is Right" di dalam mengurus kurikulum dan perjalanan sekolah secara menyeluruh. Sehingga sekarang saya masih mencari siapa "guru sebenar guru", seperti mana kita sekarang mencari dan mengenal siapa "ulama sebenar ulama", kata saya. Dalam melakukan yang betul inilah kita sering disalahfaham dan dipandang serong oleh setengah-tengah pihak. Adakah mengajak orang bekerja dengan betul salah dari segi hukum syara' atau pun pada undang-undang negara?

Saya pernah mendengar komen seorang bekas Guru Besar dan bekas Pengerusi MGB pula dan bertaraf seorang haji, menyatakan kerja mengajar sebagai "kerja bodoh!". MasyaAllah, kata saya, bagaimana orang seperti ini sanggup mengeluarkan perkataan yang amat tidak kena dengan taraf dan tahap pencapaian dalam kehidupan ini? Bagi saya kalau kerja mengajar ini dianggap 'kerja bodoh', saya akan berhenti menjadi guru, saya akan mencari pekerjaan lain yang dianggap "kerja cerdik". Inilah sebenarnya kesilapan pemikiran yang amat besar, sehingga menyebabkan "imej dan status" sekolah kebangsaan sering dipandang rendah dan dipertikai oleh segelintir orang termasuk Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan atau KPPK sendiri. Kata saya walaupun ramai yang marah dengan Siva, Setiausaha Agung KPPK, bagi saya beberapa aspek daripadanya adalah benar dan berasas. Dan inilah juga sebab sukar kita hendak memartabatkan pendidikan kebangsaan yang diterajui oleh sistem kebangsaan dan sekolah kebangsaan selagi wujudnya pemikiran negatif dan sempit di kalangan para Guru Besar sendiri.

Seterusnya saya katakan bahawa saya tidaklah mempunyai kisah-kisah hebat selama berkhidmat sama ada selaku guru penolong atau pun sebagai bekas Pengetua dan Guru Besar. Apa yang saya buat adalah merupakan "perkara-perkara biasa" sahaja tetapi telah dipandang sebagai "luar biasa " oleh segelintir orang termasuklah rakan-rakan Guru Besar sendiri. Dalam "memotivasi serta memimpin" orang-orang bawahan kita (guru-guru atau kakitangan lain) salah satu unsur yang amat penting ialah bukan sekadar "menyuruh" tetapi "mengajak" orang-orang lain melakukan yang terbaik. Adakah dengan mengajak guru-guru saya datang awal ke sekolah, atau mengajak mereka mengajar dengan penuh komitmen dan dedikasi, menepati waktu atau "deadline", mengajak menampilkan hasil kerja yang berkualiti, atau pun bagi mewujudkan senario dan suasana sekolah yang kondusif kepada proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan itu salah? Tanya saya.

 

                                                   

           

                                        

                                           Copyright ©2002-2003 Hamzah Mohamed